Update ini saya tulis dalam keadaan gundah gulana. Risau yang amat sangat. Takut juga.
Sejak Sabtu hujan turun mencurah - curah di bumi Kuantan. Hinggalah hari ini masih lagi mencurah - curah atau menggila bagai kata sesetengah rakan saya.
Takut sangat. Saya di pejabat, risaukan rumah. Risaukan laluan manakah yang wajar saya ikuti untuk pulang ke rumah. Selamatkah kereta saya? Banyak kawasan telah dinaiki air. Malah banyak juga sudah dilanda banjir. Boleh saya katakan suasana di Bandar Kuantan adalah sangat teruk kala ini.
Hujan masih mencurah - curah. Lebat. Bukan lagi renyai - renyai. Langit gelap gelita. Di pejabat memang sudah kurang orang. Malah kawan yang tempatnya dihadapan saya terpaksa balik kerana rumahnya dinaiki air. Saya sangat risau sebenarnya.
Petang semalam waktu pulang dari kerja, melalui jalan Taman Gelora, susur keluar ke Jalan Teluk Chempedak dekat Annexe, hati saya sudah berdebar - debar. Masuk pula Jalan Kubang Buaya, kereta saya terpaksa meranduk air. Saya menangis dalam kereta. Sampai di Bonggol pertama kereta Viva depan kereta saya berhenti, bertambah dua kali ganda kerisauan saya tetapi saya tekad juga meredah air. Mahu masuk simpang pertama, tidak lepas. Mahu masuk simpang kedua juga tidak lepas. Sampai di roundabout Kubang Buaya, saya belok kiri (Pukul 9). Disitu juga ada air yang dalam. Pandang ke kiri, air sudah atas paras buku lali dan sudah masuk dalam rumah. Saya berdebar, adakah rumah saya yang mana hanya selang dua baris juga banjir? Kehadapan sedikit saya belok kiri, masuk kawasan perumahan saya. Alhamdulillah kawasan rumah saya masih terkawal. Lorong jalan rumah saya menghala ke Hospital Pakar Kuantan (KSH) tidak boleh dilalui. Lorong rumah saya menghala Jalan Kubang Buaya juga tidak boleh dilalui.
Malam tadi, sejujurnya saya tidak lena tidur. Mujurlah pagi tadi Jalan Kubang Buaya yang dinaiki air sudah surut. Tetapi sekarang, hujan masih menggila. Belum ada tanda mahu berhenti. Belum ada tanda mahu berehat. Sungguh berdebar. Takut. Semalam saya sudah alih sedikit barang naik ke atas. Harapnya tidak banjir dalam rumah.
Ini pengalaman pertama saya yang mana keadaan musim tengkujuhnya paling teruk setelah hampir 7 tahun saya menginap di Kuantan. Tahun lepas keadaan tidak seteruk ini walaupun agak teruk juga kerana kawasan perumahan saya tidak dinaiki air.
Perjalanan yang sepatutnya kurang 10 minit dari pejabat, saya tempuh lebih 20 minit. Rakan pejabat saya mahu ke Bukit Istana perlu melalui perjalanan lebih 1 jam 30 minit semalam.
Mohon doa rakan - rakan.
Gambar dari pejabat. Anda nampak parking kereta dihadapan? Saya parking kereta disitu. Berkali - kali saya melihat kerana di pintu utama pejabat (berdekatan pondok pengawal) air dari longkang sudah bergenang disitu? Tetapi tadi seorang rakan memberitahu, masih selamat disitu.
DOA sama - sama ye...
No comments:
Post a Comment