Rasanya baru sebentar kita meninggalkan alam persekolahan. Kisah lampau masih tergiang-giang di telinga. Bagi saya, hari pertama di sekolah rendah (SK Sungai Retang) sudah ada kisahnya. Saya masuk ke tandas lelaki sambil minta jiran yang kebetulan berada di dalam tandas untuk menunggu di pintu. Huhu. Kelakar sekali. Kisah teknik menghafal sifir yang diajarkan oleh Cikgu Khaidir juga masih kukuh di ingatan. Malah paling saya tidak boleh lupa ialah ketika didenda tidak menyiapkan buku skrap Bahasa Malaysia tahun 5 oleh Cikgu Shahrin. Kami satu kelas didenda menulis:
"Saya tidak akan lupa menyiapkan buku skrap" sebanyak 1000 kali. Waktu itu habis seluruh keluarga membantu saya menyiapkannya termasuklah Arwah abah, bonda, abang dan juga kakak.
Begitulah juga ketika saya melangkah masuk ke asrama pada tahun 1996. Mujurlah ada kakak yang ikut masuk asrama dan berada pada tingkatan empat waktu itu. Kisah budak bandar menjadi sebutan dan gelaran buat kami. Padahal kami cuma anak felda. Kisah diri mewakili Negeri Pahang ke Pertandingan Pesta Pantun 1997 adalah antara kenangan terindah buat diri saya yang ketika itu hanya berusia 14 tahun. Kisah cinta saya juga tidak kurang hebatnya. Apatah tidak, kantoi dengan guru disiplin dan gura kaunseling yang waktu itu adalah guru pengiring Pasukan Pantun. Seminggu saya menyepi dan tidak berani masuk ke bilik guru. Kemudiannya saya mengenali beberapa junior dan mengambil mereka menjadi adik angkat saya dek kerana saya sendiri anak bongsu. Hubungan dengan mereka masih kekal hingga ke hari ini walaupun mereka tinggal jauh dengan saya.
Hidup sendiri dan berdikari! Itulah saya pelajari ketika berada di asrama SMK Panglima Garang Abdul Samad selama lima tahun (1996-2000). Saya pernah memegang beberapa jawatan penting untuk sekolah mahupun di asrama. Di sekolah sayalah Exco Pendidikan Badan Pengawas dan di asrama Sayalah Ketua Aspuri. Namun saya sukakan diri saya yang bergiat aktif. Bukan mencari glamour tetapi belajar menjadi penting dan bertanggungjawab serta yang paling pentingnya menjadi dewasa. Itu yang sering saya katakan pada diri. Namun saya sedar, menjadi dewasa besar cabarannya. Saya pernah hilang kawan malah dipulaukan. Saya pernah berasa ingin lari dan saya sering berasa tertekan. Namun, bila saya keluar dari sekolah sebaik sahaja habis peperiksaan kertas terakhir SPM, saya sudah berasa sebak. Inilah sekolah yang mengajar saya erti dunia. Segulung terima kasih buat cikgu2 khususnya Ayahanda (Cikgu Hassan Basri), cikgu KZ, cikgu Sarimah, Cikgu Habibah, Cikgu Rahimi, Cikgu Jailani dan ramai lagi. Jua buat penyelia asrama Puan Zailan dan makcik2 dewan makan.
Hidup saya tidaklah ceria selalu. Paling gentir bila saya tidak ditawarkan kemana-mana IPTA untuk menyambung pelajaran sedangkan abang dan kakak semuanya adalah lepasan universiti. Arwah abah waktu itu kecewa dan menyatakan saya berbuat silap ketika memohon kursus hinggakan saya berasa kerdil berbanding abang dan kakak yang ternyata mudah menempatkan diri ke IPTA walaupun keputusan peperiksaan saya lebih memberansangkan. Malah, terbaik berbanding mereka. Keluarga waktu itu menyalahkan saya. Rasanya waktu itu saya lebih tertekan hinggakan tidak boleh mendengar sesuatu tentang berita kemasukan ke universiti. Saya jadi hiba teramat. Kisah ini saya kongsi dengan seorang sahabat. Hinggakan demi saya, dia sanggup berbohong menyatakan dia juga tidak diterima masuk ke universiti walaupun ketika itu dia sememangnya sudah menerima tawaran.
Keluarga minta saya buat keputusan samada mahu belajar ataupun bekerja. Sudah tentulah saya ingin belajar. Lalu disuakan saya borang permohonan mengikuti Tingkatan Enam. Saya tolak dengan berhemah mengatakan saya tidak mahu membazir dua tahun lagi bersekolah. Akhirnya mereka minta saya buat pilihan keatas beberapa buah kolej dan saya memilih untuk mengikuti pengajian di sebuah kolej di Kelantan namun, mereka sekali lagi menolaknya dan memaksa saya mengikuti pengajian disebuah kolej di Kuantan. Saya terima dan mula mengikuti pengajian dalam Diploma Pengajian Perniagaan, Program Usahasama dengan UiTM. Episod pelajar kolej bermula dalam hidup saya.
Arwah abah dan bonda sekali lagi menetapkan target buat saya sebagaimana yang pernah ditetapkan ketika saya bakal menghadapi peperiksaan UPSR, PMR, dan SPM. Must Achieve 3.0 and above every semester! Saya sahut cabaran walaupun saya sendiri tidak mengerti apa bidang yang sedang saya ikuti. Dihati langsung tiada minat kerana saya ingin sekali melanjutkan pelajaran dalam bidang ekonomi. Tetapi cabaran saya sahut juga hinggalah eman semester dan saya berjaya meletakkan diri saya yang terbaik. Tibalah masanya saya memohon untuk menyambung pelajaran. Tentulah bidang yang saya ingin pilih dan jalani adalah ekonomi perniagaan. Namun, seluruh keluarga menghalang lalu saya disaran mengambil bidang pemasaran. Sekali lagi saya tidak diberi pilihan dan saya pula diterima masuk ke UiTM Shah Alam dalam bidang Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Pemasaran. Entah bagaimana, mungkin kerana doa dan restu keluarga saya akhirnya jatuh cinta dengan bidang Pemasaran dan sekali lagi meletakan diri saya dalam kelompk teratas dan berselempang songket ketika majllis konvokesyen. Saya berjaya membuktikan pada keluarga bahawa saya juga mampu meraih kejayaan walau dalam keadaan tertekan. Tiba-tiba saya berasa dewasa!
Saya mula bekerja selepas sembuh dari sakit pinggang selama lebih empat bulan selepas majlis konvokesyen. Tahu dimana? Saya mengajar di Kolej tempat saya mengikuti Diploma. Seronok rasanya dapat bersama-sama pensyarah saya dan kami kini adalah rakan sekerja. Alhamdulillah.
Saya suka diri saya yang matang dalam membuat keputusan. Saya sukakan hidup saya yang dekat dengan campus life dan saya suka bilik saya penuh dengan buku2. Rumah saya ibarat library buat saya. Sana sini buku. Malah, jangan tak tahu saya juga menghasilkan buku.
Jadi dewasa adalah sesuatu yang seronok bagi saya. Walaupun keluarga banyak mendesak namun saya rasa kedewasaan itu akan muncul setiap kali menempuh dugaan. Betapa saya cuba menguatkan diri bila ditekan dan akhirnya saya mampu mengendalikannya.
Namun satu perkara yang buat saya rasa saya kurang dewasa. Saya masih lagi belum mampu menerima kenyataan bahawa Abah kesayangan saya sudah tiada. Acapkali saya merasakan bahawa arwah masih ada dan sedang mengomel tentang hidup saya yang ingin jadi dewasa ini. Acapkali saya ambil telefon lalu saya cari namanya dalam phonebook kemudiannya saya kecewa kerana tidak menjumpainya kerana nombor telefon itu sudah saya gantikan dengan nama bonda. Seringkali saya tertunggu kepulangannya dari kebun dan acapkali saya berlari ke hadapan ingin menyamput kepulangannya bila terdengar bunyi motor seakan miliknya. Entahlah. Untuk perkara ini saya memang kurang dewasa.
Ketika arwah meninggalkan kami, saya baru bekerja dan sibuk benar. Arwah sering marah bila saya kadang-kala balik menemuinya di hospital dan meninggalkan pelajar saya. Kata Abah waktu itu,
" amanah bangsa janganlah diabaikan. Abah masih segar menghadapi dugaan. Usahlah adik balik selalu dan menggabaikan kuliah."
Saya ingin menangis kerana bagi saya abah lebih utama dari segalanya. Acapkali dia menenangkan saya yang risau akan kesihatannya yang tiba-tiba jatuh sakit sedangkan abah seorang yang amat menitikberatkan kesihatannya. Sesungguhnya, ketika arwah menghembuskan nafas terakhirnya, saya menahan diri dari mengeluarkan setitik air mata. Malah bonda dan kakak berpaut dengan saya meminta sedikit kekuatan. Saya tiba-tiba jadi kuat. Walaupun yang pergi itu abah kesayangan saya. Namun, saya tak mampu nak menghantar arwah untuk dikebumikan. Saya tak mampu nak mellihat jasadnya dikambus tanah. Saya berada dirumah dan termenung akan hidup saya tanpa Abah. Waktu itu, saya rasa sayalah anak kecil yang kehilangan punca. Anak buah saya yang ketika itu berumur enam tahun memeluk saya lalu mengusap belakang saya sebaik sahaja jasad arwah abah tiba dirumah dari hospital. Waktu itu saya rasakan anak buah saya yang dalam lingkungan 4 hingga 10 tahun lebih dewasa dari saya bila mereka datang seorang demi seorang lalu memeluk saya menyampaikan sedikit kekuatan buat saya.
Sesungguhnya hingga ke hari ini saya ingin sekali meyakinkan diri saya bahawa arwah telah tiada dan menyakinkan diri saya walaupun arwah telah tiada saya masih lagi boleh dewasa dengan kenangannya itu.
Berjayakah saya menjadi dewasa dan menempuhi segalanya bagai seorang wanita dewasa? Sungguh, saya akan menyahut cabaran itu!
No comments:
Post a Comment