Assalamualaikum.
Sebelum diteruskan pembacaan entry ini, mohon disedekahkan bacaan AlFatihah buat arwah abah saya. Juga buat arwah orang - orang yang dekat dengan kita.
Waktu ketika saya menaip entry ini adalah 8.20 malam, 19 Ogos 2022. Ayuh mengimbau kisah sekitar waktu ini 15 tahun yang lalu.
Dirumah keluarga saya, tidak ramai orang. Hanya kami anak beranak. Saudara mara yang datang berziarah, sudah pulang semuanya. Rumah ketika itu tidak riuh. Ada dengar bunyi mengaji, juga esak tangis.
Saya masih berkira - kira mahu kekal di rumah menemani keluarga. Saya dapat cuti ehsan 3 hari. Namun esok pagi, saya dikerah pulang ke kota raya. Esok ada ujian bertulis kerja 'gomen' perlu dihadiri. Saya sudah kehabisan idea untuk mencari jalan untuk kekal bersama keluarga melalui saat - saat sunyi ini.
Dipaksa balik, bererti dipaksa menahan rasa sendiri.
Dipaksa balik, bererti dipaksa berkuat sendiri.
Walau saya tahu seisi rumah sedang cuba menahan diri dan berkuat sendiri.
Dia, abah kesayangan saya. Kesayangan seluruh keluarga.
Sosok seorang abah itu, pasti sahaja paling memahami anak perempuannya. Anak perempuan ini paling percaya lelaki yang dipanggil abah kan?
Dengannya saya boleh bergurau. Dengannya saya tidak perlu mengarang ayat, mengarang cerita, dia sudah tahu keadaan anaknya ini. Dialah yang rajin menelefon saya, mengusik dan bertanya akan hari - hari saya. Dialah yang sering buat surprise itu ini untuk menggembirakan saya. Dialah paling bangga dengan pencapaian saya walaupun bukan pencapaian cemerlang. Hanya pencapaian biasa.
Padanya saya bercerita tentang segala. Padanya saya menyandar segala resah emosi.
Dengan bonda, kerana karekter yang berbeza, jujur saya jarang berkisah. Jarang bercerita tentang hal - hal yang terjadi pada saya. Namun saya tahu dan merasa kasih sayang bonda tak pernah berkurang pada saya. Hanya cara mereka berbeza.
Bila abah dijemput Allah pada subuh 19 Ogos 15 tahun lalu, saya jujurnya merasa tiada lagi orang untuk saya mengadu domba. Tiada orang dapat memberi rasa calm yang saya inginkan selain abah. Dengan bonda, jujurnya saya jarang mengadu domba padanya. Bila bonda bertanya, biasanya saya akan menyatakan saya baik - baik sahaja. Dari kecil sudah begini.
Hilang tempat mengadu domba, seakan separuh jiwaku juga hilang pergi bersamanya. Allahu...
Namun, alhamdulilah. Saya baik - baik sahaja sehingga hari ini. Tentulah ini hasil doa - doa bonda yang dimakbulkan Allah. Kan?
I miss you, abah.
Rindu terpaling dalam.