Assalamualaikum
Apa khabar semuanya? Moga - moga dalam keadaan yang baik.
Maaf lama tidak menulis disini. Bukan tiada bahan tetapi kesuntukan masa.
Perlahan - lahan lah kayuh kan?
April. Bulan yang sibuk. Menyiapkan markah sebelum para pelajar manjalani peperiksaan akhir. Sibuk dengan aktiviti itu ini. Ke Melaka lagi. Cerita bercuti dikala sibuk di Melaka penghujung Mac pon belum dicoret sini, tup - tup ke Melaka lagi kerana urusan kerja.
Tidak terkejar. Tetapi jalani sahaja hidup.
Pelajar diploma UTM saya baru sahaja selesai peperiksaan akhir Ahad lepas. Dua minggu mereka bertarung exam bermula 15 April lalu. Saya seperti biasa, akan mengambil cuti barang seminggu pada minggu pertama peperiksaan akhir. Ini kerana mahu rehat sebentar. Sudah saya maklumkan kepada unit exam bahawa saya akan bercuti. Saya fikir waktunya tepat. Pelajar diploma sedang menjalani exam dan pelajar bachelor sedang cuti pertengahan semester. Maka tiada kuliah perlu diganti. Boleh bercuti dengan aman. Tetapi lain halnya. Cuti saya diganggu kerana secara tiba - tiba saya perlu mengganti kuliah semester pendek. Tetapi saya sudah ada perancangan, maka cuti tetap cuti. 8 jam kuliah perlu diganti. Tak mengapa fikir saya. Boleh ganti pada hari sabtu atau ahad nanti.
Masuk minggu kedua, saya bersemangat penuh untuk masuk kuliah. Mahu berbincang dengan students tentang perancangan kuliah ganti. Hari Isnin itu, 22 April. Isnin minggu lepas. Sedang saya berkira - kira mahu masuk kelas seperti dijanjikan, saya mendapat satu panggilan telefon dari bonda.
Suara bonda kelihatan cemas semacam buat saya berdebar tidak keruan.
"Boleh cuti barang dua hari?" tanya bonda saya.
"Mengapa?" soal saya.
"Balik ke rumah sekarang. Ambil bonda dan along. Kita ke rumah makde petang ini juga."
"Ada something dengan wan ke?" Wan, panggilan khusus untuk nenek saya.
Dalam kepala saya sempat berfikir. Sekarang sudah pukul 1 lebih. Perjalanan ke rumah bonda memakan masa hampir tiga jam. Kemudian, perjalanan ke rumah makde di Negeri Sembilan dari rumah bonda itu hampir empat jam. Malam nanti baru sampai. Tentu ada sesuatu berlaku!
"Wan, menurut makde, kelihatannya lain benar. Bonda risau. Balik sekarang ye." sambung bonda.
"Baiklah. Tunggulah saya."
Tidak sempat mencari bos saya, saya segera memandu balik. Terasa mahu singgah dirumah sebentar kerana mahu ambil barang - barang keperluan.
Namun, ketika dalam kereta, saya dapat panggilan dari angah saya. Rupanya bonda sudah menelefon angah lebih awal dari saya,
"Angah dah keluar dari kilang. Akan ambil bonda dan along.Awak terus sahaja ke rumah makde. Esok bawa balik along." begitulah kedengaran arahan seorang abang.
Saya mencongak. Angah dari kilang di area Banting, mahu balik mengambil bonda. Kemudian ke rumah makde. Tentu malam juga sampainya.
Saya tidak pernah memandu seorang diri ke rumah makde saya. Biasanya ada bonda dan ahli keluarga yang ikut serta tetapi saya gagahkan juga diri. Dari pejabat saya singgah di pasaraya. Beli sedikit bekalan buat keluarga makde, kemudian singgah ke rumah ambil beberapa pakaian. Kemudian memandulah saya. Selepas hampir dua jam pemanduan, saya singgah berhenti solat di Muadzam Shah. Juga buat menenteramkan hati seketika. Perjalanan masih berbaki hampir dua jam.
Apabila saya sampai di laman makde, makde tentulah terkejut. Tetapi menerima baik kunjungan saya. Dibawanya saya melawat wan. Allah, sedih benar rasa hati saya. Nenek saya itu cengkung. Badannya kurus benar. Tiada isi. Hanya kulit dan tulang semata. Sebak dalam hati saya usah katalah. Tetapi saya sudah terbiasa menahan diri.
Ketika saya dekat dengannya hanya sesekali dapat mendengar suaranya dan melihat matanya dibuka perlahan - lahan.
Dan malam itu, tepatnya pukul 10 malam, Wan saya dijemput ke rahmatullah. Dan saat - saat akhirnya saya disisinya. Dua kali Wan saya minta air. Tiga kali saya berikan tetapi kali ketiga itu paling dekat dengan kali kedua. hanya berjarak few seconds. Kali ketiga itulah saya pangku wan saya dekat di dada kerana simptonnya seperti tersedak air. Jadi saya angkat dan letakkannya didada saya dan urut belakangnya perlahan - lahan. In few seconds juga keadaan semakin genting. Saya panggil makde dan pakde. Bila mereka mendekat saya menjarakkan diri sedikit. Beri ruang pada keduanya. Ketika itu saya mula gigil. Melihat Wan saya mencari nafas, oh sukar mahu saya jelaskan. Dan dalam kekalutan kami itu kedengaran bunyi kereta di laman makde, Saya berlari keluar. Buka pintu. Sepantas kilat saya arah angah, along dan bonda saya masuk. Mereka berlari masuk dan ketika itulah kali terakhir wan saya menghembuskan nafasnya.
Saya? Gigil. Dipeluk makde kemudian, gigil saya tidak hilang - hilang. Dipeluk bonda, gigil saya tidak hilang juga. Perasaan saya, takut mulanya. Kemudian terasa kosong. Tidak tahu nak bereaksi. Sedih tentulah ada, tetapi air mata saya tidak mahu keluar.
Usai solat isyak yang tertangguh itu, saya membaca Al quran. Berganti - ganti. Perasaan takut mula hilang. Muncul satu perasaan aneh. Perasaan kosong. Tidak tahu mengapa, saya jadi tidak mahu bercakap. Terkedu mungkin.
Dan hari ini, setelah seminggu, perasaan terkedu itu masih ada, Tetapi saya cuba kuatkan hati. Air mata saya tidak setitik keluar hingga hari ini. Tak mengapa, saya harap saya sentiasa kuat.
Ini kisahnya. Main topik sepanjang April. Segala perasaan gembira di Melaka tempoh hari terus hilang serinya. Padahal banyak kisah mahu saya ceritakan. Saya ke Melaka lagi 18 April lalu dan pulang ke Kuantan pada 20 April. Dan Wan saya pulang kerahmatullah pada 22 April.
Sedih, sebak semua ada. Saya kadang kala berasa cemburu kerana orang lain, senang - senang boleh lepaskan sedih itu dengan air mata. Tetapi saya, keadaannya bagai tertahan - tahan. Despite of crying, saya jadi diam segala.
Balik semula ke pejabat Khamis lepas, kawan - kawan ajak saya makan di restauran kegemaran kami, Cuba gembirakan hati. Hari Jumaat lepas ada makan - makan di pejabat. Bolehlah berjumpa dengan kawan - kawan dan cuba gembirakan hati.
Hari ini 29 April saya buat keputusan. Cuti yang saya telah mohon sebelum ini pada mulanya saya mahu batalkan tetapi saya kira saya perlu distraction. Plan ke JB esok saya teruskan. Meraikan pelajar UTM saya yang akan berkonvokesyen.
Jujurnya, saya kelihatan kuat segala tetapi sebenarnya tidak. Namun, saya doa saya kuat dan kembali bersemangat. Doa sama - sama ye.
No comments:
Post a Comment