Friday, May 10, 2019

Kita semua perlu masa

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.
Apa khabar semua?
Semoga masih istiqomah dalam berpuasa.

Maaf jika masih tercari - cari cerita saya. Sebenarnya masih tidak betah segala.
Tidak mengapa, saya akan berkisah hari ini. Sebahagian daripadanya.

1 Mei lalu, setelah 9 hari nenek saya kembali kerahmatullah saya mendapat satu berita sedih. Saya ketika itu dalam perjalanan dari JB ke Kuantan. Tepatnya di Kluang. Kawan saya mendapat panggilan telefon dari seorang pelajar. Saya yang kebetulan duduk dikerusi belakang kereta turut ikut mendengar perbualan itu. Ianya dari Izzat, pelajar semester akhir jurusan pengurusan teknologi.

Izzat: Maaf ganggu Puan. Puan kenal Amirul?
Kawan saya (Kak Farah): Amirul? Amirul Ikmal?
Izzat: Iya. Ya. Amirul Ikmal.

Kak Farah: Amirul Ikmal, Aibar kan? (*Aibar ni nama panggilannya. Ringkasan dari nama penuhnya Amirul Ikmal Bin Abdul Razak = AIBAR)

Izzat: Ya. Aibar.
Kak Farah: Ha mengapa dengan Aibar?
Izzat: Aibar dah takde.

Kak Farah: (dengan nada sedikit tinggi) Izzat cakap apa ni? Siapa yang bagitahu? Jangan main - main dalam perkara ini?
Izzat: (kedengaran suaranya seperti keliru) Ayah dia baru call. Saya tak pasti puan. Saya nak pergi tengok dulu. Saya nak pastikan.

Kak Farah: Izzat dengan siapa tu?
Izzat: Dengan Family.

Kak Farah. Oh okay. Apa - apa bagitahu.

Panggilan dimatikan kemudian.
Saya. Mencerna satu persatu maklumat yang saya terima.

Aibar. Dia dah tak ada. APAKAH????

Dan anehnya, air mata saya terus mengalir.

Kak Farah memanggil saya memaklumkan. Kami berdua tergamam. Yang keluar hanya air mata beberapa ketika. Telefon diangkat. Nombor telefon Mama Aibar saya dail. Saya kira saya perlu dengar dari ibunya sendiri.

Bila panggilan bersambung dan salam bersaut saya jeda seketika. Lalu bertanya.

Saya: Mama, betulke apa yang zura dengar?
Mama: Betul Zura. Adik dah tiada.
Saya: Mama.... (saya kehilangan kata - kata)
Mama: Mama di masjid. Adik meninggal pukul 12.50 tadi. Di Klinik Kesihatan. Zura datang?
Saya: AllahuAkhbar. Zura di Johor lagi Mama. Ada tugas di JB. Baru dalam perjalanan balik Kuantan.
Mama: Tak apa. Zura doakan adik ye. Mintak tolong Zura bagitahu pensyarah dan kawan - kawannya ye.
Saya: Boleh Mama.

(Senyap seketika. Saya kehilangan kata.)

Saya: Mama... Mama dan papa berkuat ye...
Mama: InshaAllah. Terima kasih zura.
Saya: Assalamualaikum Mama.
Mama: Waalaikumussalam.

Panggilan selesai. Saya memaklumkan kepada isi kereta. Sungguh Aibar telah tiada. Air mata saya mengalir tanpa henti - henti.

Allah...
Kami memanggilnya Aibar. Pelajar semester akhir. Semester hadapan akan menjalani latihan industri ikut perancangannya. Cuma hujung semester lalu, arwah diserang sakit. Batuk lama dan demam berpanjangan. Pernah beberapa kali saya mengajaknya ke hospital. Arwah tidak mahu membebankan saya. Katanya mahu pergi sendiri. Hinggalah saya menelefon Mamanya. Dan kemudian berjaya memujuknya ke hospital. Tetapi masa itu tidak jelas sakitnya. Cuma arwah diminta hantar sample kahak ke hospital.

4 April 2019 saya tiada di pejabat waktu itu. Ada urusan di campus lain. Saya terima message dari Kak Farah dan Kak Pamela. Meminta saya menelefon Mama Aibar. Menurut kawannya keadaannya lemah. Dan kakak berdua sudah hubungi bahagian pengurusan pelajar. Mereka juga sudah hubungi ambulan. Ambulan sudah tiba tetapi Aibar tidak mahu turun dari asrama. Saya hubungi Mama. Dan setelah itu, Mama berjaya memujuk Aibar. 


5 April 2019. Dengarnya 7 Jam arwah di Bahagian Kecemasan. Sesak nafas dan bengkak kaki. Allah.. Petang itu saya melawatnya. Melihat keadaan dirinya yang nampaknya sedikit segar, arwah gembira benar melihat kami. Sempat saya berbual dan mengusiknya. Oh ya, saya memang gemar mengusik pelajar saya. Apatah lagi arwah ini pelajar dibawah jagaan saya. Saya mentornya.

Seberapa ketika, Mamanya mencuit saya. Saya ketepi sedikit.

Mama: Nampak ceria sikit dah tu. Tadi dia risau. Kalau berlama - lama di hospital ada ke yang nak jaga dan nak datang jenguk? 

Saya: Alahai... Tak apa Mama. Kami dan kawan - kawan sentiasa ingat akannya. 

Inilah kali terakhir saya berjumpa dengannya. Inilah kali terakhir saya lihat senyumnya. Inilah kali terakhir saya dengar suaranya. Inilah kali terakhir saya mengusiknya dan dia seperti selalu berlagak biasa dan terhibur dengan usikan kami. Allah...

20 April 2019. Dalam perjalanan balik dari Melaka ke Kuantan saya menghubunginya melalui whatsapp. Bertanya akan keadaan terkininya. Saya ke Melaka lagi atas urusan kerja. Whatsapp saya dibiarkan sepi. 

21 April 2019. Hampir pukul 6 pagi, barulah balasan darinya tiba. Menurutnya dia sudah keluar wad beberapa hari. Dia mohon maaf tidak memaklumkan hal ini kepada saya. Katanya sekarang perlu makan ubat mencairkan darah. Katanya juga disebabkan ubat itu, keadaannya jadi lemah dan mudah sahaja naik marah pada papa dan mama. Katanya, entah berapa kali dia meminta maaf menangis - nangis pada papa dan mama. Katanya lagi, seminggu dua lagi eloklah ni. 

Whatsapp itu saya balas. Seperti biasa. Menasihatnya. Meminta dia banyak - banyak sabar. Perlu kuat semangat. Jangan sesekali mengalah. Dugaan datang. 

Dia membalas lagi. Berterima kasih. Katanya dia akan kuat. Diminta saya jangan risau akannya. Dan ayat terakhirnya, JUMPA LAGI MISS... 

AllahuAkhbar.
Saya merasa terkedu sungguh. Saya tidak sempat memohon maaf. Saya kira banyak salahnya saya sepanjang menjaga dia. Saya kira saya selalu mengusiknya berlebih - lebihan. Saya kira saya memang banyak beranggapan yang salah padanya. 

Sepanjang dalam kereta menuju ke Kuantan itu, saya terkenang - kenang gelagatnya dari semester 1 hinggalah ke semester ini. Teringat - ingat moment yang pernah kali lalui bersama. Terkenang - kenang kali terakhir saya bertemu dengannya. Air mata saya gugur lagi. Bila saya cuba memejamkan mata seketika, yang saya nampak wajahnya. Allahuakhbar.

Batch Aibar ini antara yang batch student yang rapat dengan saya. Sentiasa membantu. Sentiasa menghiburkan. Sentiasa menyenangkan walaupun kadang - kadang ada juga rasa 'menyampah'. Biasalah students kan. Kali terakhir saya mengajar batch ini adalah pada semester ketiga mereka. Tetapi mereka gemar buat pejabat saya itu bilik kedua mereka. Pejabat saya sebenarnya adalah Pejabat Dekan. Bilik saya ada disitu. Bila mana mereka tidak lagi masuk kelas saya, setiap kali jumpa dimana - mana reaksi saya seakan orang terubat rindu. 

Yang mana tinggal di asrama, bila mana mahu ke cafe atau pulang dari cafe, selalu sahaja masuk ke pejabat saya sebelum naik ke bilik. Duduk berlama - lama di sofa atau di pantri kecil kami. Berbual - bual. Bila ditanya ada hal apa, mereka selalu membalas mudah.

"Di bilik panas. Kat sini ada aircond." 

Kehadiran mereka biasanya tidak mengundang perasaan marah. Mereka tahu batasan mereka. Kadang - kala yang hendak bertanya mungkin seorang sahaja tetapi segerombolan masuk pejabat kami itu. Sebabnya jelas. Mahu aircond. 

AllahuAkhbar.
2 Mei 2019. Sejak awal pagi hasrat saya mahu melawat telah saya tetapkan. Malah, kebenaran dekan juga sudah saya dapatkan. Cumanya, fakulti saya diaudit hari itu. Tengahari baru saya dapat ke rumah dan pusaranya. Perasaan saya sebak. Tetapi saya tahan. Melihat mama yang kelihatan sungguh kuat, saya tahan air mata saya sungguh - sungguh. Perasaan saya makin sayu bila mana beberapa kali saya terlihat papa sedang menitiskan air matanya. 

Tapi Mama, Mama sungguh kuat. Mama sungguh kuat. 

Sebelum balik semula ke Kuantan, Mama dan Papa ajak minum - minum. Mama bercerita dengan saya saat - saat terakhirnya di rumah. Ada beberapa moment buat saya goyah perasaan.

- Mama dan Papa belikan adik katil baru. Mama nak adik selesa dan segera sembuh. 
- Arwah beriya belikan mama online bateri handphone, cover handphone. Minyak wangi. Mama tak nak tetapi arwah kata tak apalah Mama. Buat kenangan nanti. (AllahuAkhbar)
- Arwah mohon Mama jangan memasak. Mahu Mama dekat dengannya. 
- Sebelum keadaanya jadi critikal, arwah sempat berkata pada Papa."Papa. Adik rasa adik meninggal kejap lagi" (AllahuAkhbar. Wajarlah Papa tidak dapat menahan sedih)
- Katanya dia tidak mahu dibelikan baju raya tahun ini.
- Katanya nanti bulan puasa Mama dan Papa boleh berniaga seperti biasa. Ini kerana dia sakit, Mama dan Papa ada hasrat tidak mahu berniaga tahun ini. Mahu menjaganya. (Jadi benarlah. Dia sudah tiada. Mama dan Papa tidak perlu menjaganya lagi. AllahuAkhbar.)

Sepanjang kami minum. Papa acap kali menunjukkan gambar arwah. Gambar - gambar arwah masa kecil dan ketika bersekolah rendah dan menengah. Saya tahu Papa masih terkesan kehilangan anak lelaki satu - satunya itu.

Sungguh saya terkesan akan kehilangan ini. Kawan - kawannya apatah lagi. Izzat yang memaklumkan kami berita itu juga hingga hari ini terkenang - kenang. Katanya Malam 30 April, Aibar datang dengan Mama dan Papa ambil barang di asrama. Kalian sempat bermaaf - maafan. Yelah nanti akan pergi praktikal. Susah hendak berjumpa. Tiba - tiba siangnya, Izzat dapat berita, Aibar sudah tiada. 

Ye, kita semua perlu masa. Itu yang Miss pesan pada kawan - kawan Aibar. Kita semua perlu masa. Kami takkan lupa doa buat Aibar. 

Arwah nenek baru 9 hari pergi. Rasa kehilangan itu belum reda. Masih terkenang. Dan kini Aibar pula. Hari ini sudah seminggu lebih, tetapi masih terkenang - kenang. Masih terkedu kadang - kadang.


Benarlah kita semua perlu masa...

Mohon yang membaca entry ini,
Sedekahkah bacaan Al - Fatihah buat arwah Amirul Ikmal Bin Abdul Razak.
Semoga semua amalannya diterima. Semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat.

Kita doakan Papa, Mama dan Kakak dikuatkan semangat. Kakak arwah sedang menjalani peperiksaan akhir di Jordan masa ini. Luruh perasaannya mendengar sang adik telah tiada. Apatah tidak, mereka hanya dua beradik. 

Mohon doa kawan - kawan arwah dapat bertabah juga. Mohon doa kami disini juga dapat bertabah.

Aamin.




1 comment: