Thursday, August 19, 2021

Hari ini, 14 tahun lalu

 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera buat semua.

Apa khabar? Moga baik - baik sahaja hendaknya. Moga sentiasa dilindungi Allah juga. 


Sudah lama blog ini tidak dikemaskini. Seperti kebiasaannya, kesibukan yang tiada penghujung. Yang keduanya lebih gemar update di Instagram atau di Facebook sahaja. 


Ada apa dengan tarikh hari ini? Bagi saya, tarikh ini penuh cerita tentangnya. Sebuah tarikh perpisahan. Sebuah titik mulanya perjuangan. 


19 Ogos 2007 - 19 Ogos 2021.

Sudah 14 tahun berlalu. Mungkin bagi orang yang tidak pernah mendengar kisah saya, 14 tahun itu tempohnya lama. 

Tidak. Segalanya bagi saya baru sahaja berlalu semalam. Ia masih segar dalam ingatan. Masih jerih saya melaluinya. Abah kesayangan saya, dijemput Allah kembali kerahmatullah pada tarikh hari ini, 14 tahun yang lalu.

No. Jangan salah faham. Bukan saya tidak menerima hakikat. Saya cuma terkenang. Rindu yang tiada penghujungnya. Saya mahu mengenang abah kesayangan saya. Walaupun selalu sahaja saya mengenangnya dan mendoakannya saban waktu, setiap hari tetapi kerana tarikh rasmi perpisahan kami adalah pada 19 Ogos, jadi izinkan saya menulis tentangnya disini. 

Rindu. Jujur. Jika anda ditempat saya, pasti anda juga akan merasa rindu. Betul kan? Rindu terpaling dalam. 14 tahun dahulu ketika dia dijemput kerahmatullah, saya kaku beberapa ketika. Mahu menangis. Tetapi air mata saya tidak tumpah setitik pun. Malah, tidak tumpah hingga berminggu - minggu. Saya menahan diri. Cuba menguatkan hati dan perasaan padahal dalam hati saya saya mahu meraung sesungguh - sungguhnya. Dan menulis ini sekarang, air mata saya seakan mahu turun, saya tahan sedayanya. Jika saya biarkan ia turun, saya tidak tahu bila ianya akan reda. 

Jeda.

Saya menulis ini, kemudian memadamnya. Kemudian kembali menulis. Jeda beberapa kali. Memadamnya beberapa kali. 

Arwah abah saya... Allah menulis perkataan arwah pada awal kata abah ini berat sekali buat saya. Air mata mahu mengalir. Hidung sudah mula berair juga. 

19 Ogos 2007. Pukul 6 pagi. Saya tersedar bila tangan saya ditepuk oleh kakak. Saya orang kedua yang melihat Abah tidak bergerak di atas katil. Kakak memandang saya. Saya memandang kakak. Suasana sepi buat beberapa saat antara kami berdua. Saya tidak ingat antara kami siapalah yang mengejutkan emak. Kemudian, saya mengangkat telefon menelefon abang. Memberitahu padanya. Mendengar suara abang menjawab panggilan itu, saya jadi kaku. Hilang semua ayat. Satu kenyataan perlu saya buat untuk memaklumkannya. Saya kenyataan yang sungguh berat. 

Ketika doktor membuat pengesahan, saya memandang kakak, dan emak. Emak sugul segala dan kakak sepertinya kaku. Waktu itu, saya mahu abang segera sampai. Saya sudah kehilangan kata. Bila memandang kakak, kakak berkata, jangan menangis. Saya tarik nafas saya dalam - dalam. Seluruh tubuh mula kaku. Pandangan saya jadi sunyi. Tak beriak. Bila abang saya tiba dari bawah, saya yang tadi mahu meluru kepadanya, hanya kaku. Abang saya datang ke arah saya tetapi saya mengarah dia supaya mendekati emak. 

Dalam perjalanan ke rumah, saya menumpang abang. Tidak banyak yang kami bualkan. Hanya sendiri membuang pandang pada pemandangan di luar. Bila tiba di rumah, saya masuk ikut pintu dapur. Duduk di pintu masuk itu. Tidak beriak segala. Seperti tadi, rasa yang ada dalam diri seakan hilang. Yang tinggal hanya sunyi. Lama saya sendirian di situ hingga anak buah saya yang ketika itu berusia dalam linkungan 6 dan 9 tahun datang kepada saya. Memeluk saya. Mereka menangis. Belakang badan saya mereka usap - usap perlahan. Seolah - olah beri sedikit kekuatan pada saya. 

Tak lama kemudian, abang saya bertanya, samada saya mahu ikut ke kubur atau tidak. Saya hanya menggeleng lemah. Dan dari pintu dapur itu, saya lihat abah saya dibawa keluar dari rumah untuk ke tempat abadinya. 

Saya anak bongsu. Sejak kecil arwah abah mahu saya jadi seorang guru. Bila saya diterima mengajar, abah suka benar. Baru tiga bulan, saya bekerja abah jatuh sakit. Setiap kali saya melawatnya, abah sering sahaja marah - marah. Katanya dia masih kuat. Sikap saya yang meninggalkan pelajar saya kerana mahu melawatnya, dia tidak gemar sama sekali. Walaupun saya melawatnya pada hujung minggu. Katanya seorang pendidik itu mesti sentiasa dekat dengan anak - anak pelajarnya. Bukan mementingkan hal sendiri. 

3 bulan juga arwah abah masuk keluar hospital. Hingga akhirnya arwah abah dijemput pergi. 


Abah, 

Alhamdulillah, adik baik - baik sahaja. Alhamdulillah adik .... (air mata saya mahu gugur) Alhamdulillah adik sihat. Alhamdulillah keluarga kita baik - baik sahaja. Alhamdulillah emah juga sihat dan baik - baik sahaja. Alhamdulillah along dan anak - anak juga baik - baik sahaja. Anak along ada yang dah bekerja, ada yang sudah melanjut pengajian peringkat degree. Alhamdulillah, angah ada sentiasa walaupun suasana pandemik sekarang menghadkan pertemuan. Alhamdulillah kakak dan abang De baik - baik sahaja. Mereka punya anak lelaki, empat orang semuanya. 


Abah, 

I miss you.... (gugur juga air mata).


Saya kira saya wajar berhenti menulis. 


Moga syurga buatmu, abah... 



 

2 comments: