Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh....
Sebelum itu, saya doakan hanya yang baik-baik sahaja akan hadir dalam hidup kita semua...
Saya masih ingat waktu itu. Hari itu 19 Ogos 2007. Waktu itu saya baru enam bulan bekerja. Pagi itu, abah kesayangan saya pergi buat selama-lamanya. Saya mahu menangis tetapi entah mengapa air mata itu tidak mampu untuk keluar. Saya termanggu di satu sudut, saya dengar kakak berkata, jangan menangis. Saya tarik nafas dalam-dalam dan akhirnya saya beroleh kekuatan. Kakak yang tadi berasa kuat, goyah juga perasaannya. Saya berjaya tidak mengalirkan air mata walau setitik hinggalah seminggu kemudian. Saya fikir saya kuat dalam menghadapi perpisahan ini. Saya fikir saya mampu bertabah namun saya gagal.
Dan saya masih ingat hari itu. 27 Mei 2011 tatkala kali pertama kawan saya menngkhabarkan satu berita yang mengejutkan. Saya masih ingat kawan saya berkata: Keadaannya kritikal.
Saya masih ingat hari itu 27 Mei 2011, dipejabat, keadaannya kucar-kacir benar. dan saya masih ingat betapa saya diruntun perasaan kalut, takut dan entah apa2 lagi. Yang saya fikirkan hanya satu, saya mahu lihat kawan saya itu. Kawan yang keadaannya dikhabarkan kritikal. Waktu itu saya berkuat, saya akan memandu hingga ke Temerloh. Saya akan memandu untuk menemuinya walau dia mungkin tidak sedar kehadiran saya.
Dan saya masih ingat hari itu 28 Mei 2011, saya dikhabarkan keadaannya tenat. Saya yang dalam keadaan tidak berapa sihat, terus terasa gagah. Cuma, satu perkara, saya tidak sekuat semalam untuk memandu ke Temerloh. Dan bila sms itu masuk, saya berasa lega yang teramat. Keadaannya stabil. Pergi segala gusar. Pergi segala gundah. Sungguh dalam solat, saya berdoa agar dirinya kuat. Semangatnya kuat. Dan akhirnya, hasrat mahu ke Temerloh saya batalkan.
Saya masih ingat hari semalam (29 Mei 2011), saya ke kelas dengan perasaan yang sukar digambar. Kosong tanpa sebarang persediaan seperti biasa. Saya sedar bahawa saya ada pembentangan tetapi saya tidak langsung kisah. Yang saya gusarkan hanyalah keadaan kawan yang satu.
Dan saya tak akan lupa detik itu. 12.10 tengahari. Kawan saya mendapat berita. Bila kawan yang satu sudah tak tertahan rasanya, saya sedar, kawan yang lagi satu mungkin keadaannya sangat kritikal. Mungkin tenat. Tetapi bila dalam riak tangis, kawan saya memberitahu: Dia telah tiada. saya terkaku buat seketika. Saya tetap memujuk kawan yang satu. Tapi tangan saya terketar-ketar. Emosi saya sudah kucar-kacir kembali.
Kelas saya tinggalkan. Diluar, keluar juga air mata saya. Tetapi saya cuba berkuat. Saya pujuk kawan saya. Tetapi kekuatan itu semakin merosot.
Bila melihat jenazahnya diusung, saya berdoa, damailah kau di sana. Ya Allah, cucurilah rahmat ke atas rohnya.
Dan hari ini (30 Mei 2011), walaupun air mata itu tidak lagi mengalir bila mengenang ataupun melihat kenangan yang ditinggalkan, namun, dalam hati saya kehilangan itu berbekas. Payah benar untuk saya redhai. Payah benar untuk saya hilangkan bekas kehilangan itu. Payah benar.
Ya Allah, kuatkanlah semangatku.
Ya Allah, kuatkanlah semangatku.
Ya Allah, cucurilah rahmat keatas roh Abah
Ya Allah, cucurilah rahmat keatas roh Maisarah
Ya Allah, tenpatkanlah roh keduanya (Roh Abah dan Roh Maisarah) dikalangan roh-roh orang yang beriman.
Ya Allah, Hanya padamu aku berserah dan bergantung harapan..
Al-Fatihah....
No comments:
Post a Comment